Tuesday, March 30, 2010

BAHAYA MEMANDU SAMBIL MENGGUNAKAN HANDPHONE(WALAUPUN GUNA ALAT BEBAS TANGAN)


SHAH ALAM: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) meminta pengguna tidak menggunakan telefon bimbit walaupun dengan alat bebas tangan ketika memandu. Ketua Pengarahnya, Datuk Suret Singh berkata, larangan itu berhubung kajian di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun dua tahun lalu penggunaan alat bebas tangan ketika memandu memberi impak sama seperti pemanduan dalam keadaan mabuk.

“Sehingga ini, arahan tidak membenarkan penggunaan alat bebas tangan dikeluarkan terhadap kakitangan JKJR dan pelaksanaannya ke seluruh negara akan dilakukan secara berperingkat,” katanya pada sidang media selepas program Pelupusan Topi Keledar Motosikal di Tol Batu 3 di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Che Hussin Omar. Katanya, tanggapan orang ramai penggunaan alat bebas tangan telefon bimbit ketika memandu lebih selamat adalah kurang tepat.

“Oleh itu, untuk permulaan JKJR juga meminta kakitangannya mengubah telefon bimbit ke mod senyap sebelum memulakan perjalanan supaya tumpuan dapat diberikan sepenuhnya ketika memandu,” katanya.
Sementara itu, katanya, tahap kesedaran orang ramai terhadap penggunaan topi keledar menepati ciri keselamatan kian memuaskan dan menunjukkan perkembangan positif.


“Ini kerana, sepanjang operasi hari ini (semalam) berlangsung, majoriti penunggang dan pembonceng motosikal tidak lagi memakai topi keledar yang tidak menepati piawaian Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (Sirim) serta memakainya mengikut cara disarankan,” katanya.

Menurutnya, perkembangan ini sekali gus dapat mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Mengulas lanjut, Suret berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan merampas penjualan topi keledar tiada kelulusan Sirim.

0 comments:

Post a Comment