GEORGETOWN: Seorang pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Damai, Bukit Mertajam, meninggal dunia dipercayai akibat komplikasi jantung ketika mengikuti latihan sukan sekolahnya, semalam.
Ang Eng Giap, 13, pelajar tingkatan satu, terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika sedang berlari acara 100 meter kira-kira jam 7.30 pagi.
Berikutan itu, dia dibantu oleh guru rumah sukannya dan bapanya turut dimaklumkan kejadian berkenaan.
Selepas itu, dia dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam dengan menaiki ambulans dengan diiringi bapanya. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, mengesahkan pelajar itu mengalami komplikasi jantung ketika menjalani latihan sukan.
"Kami mendapati pelajar itu secara rela mengikuti latihan sukan dan mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Ibrahim Mohamad, berkata pihak sekolah terus menghubungi ambulans dan memaklumkan kepada keluarganya mengenai kejadian itu.
Katanya, bapa pelajar itu memberitahu anaknya pernah mengalami komplikasi jantung ketika zaman kanak-kanak.
"Bagaimanapun, pihak sekolah yang melakukan pemeriksaan pada rekod Sistem Maklumat Murid (SMM) mendapati bahagian penyakit kronik atau adanya sebarang komplikasi ditanda 'tiada'," katanya.
Ibrahim berkata, guru kelas dan pihak sekolah juga tidak dimaklumkan mengenai penyakit yang dialami pelajar itu atau pernah berlaku masalah komplikasi jantung ketika kecil.
"Kami tidak mengetahui punca sebenar mengapa penyakitnya tidak ditulis dalam SMM dan kemungkinan mereka terlepas pandang atau beranggapan ia tidak penting," katanya.
Jabatan Pelajaran negeri turut memberi sumbangan lebih RM4,000 yang diperoleh dari tabung derma kilat kepada keluarga mangsa bagi meringankan bebanan mereka.
0 comments:
Post a Comment