Thursday, April 1, 2010

JANGAN MEROKOK SAMBIL MEMANDU(BERHEMAH SKIT)


Padah rokok
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

2010/03/31


KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menggubal undang-undang mengharamkan amalan merokok sambil memandu di negara ini kerana berisiko menyebabkan kemalangan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah berkata, saranan itu selaras usaha mengurangkan kemalangan serta membendung sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang membuang puntung rokok dari kenderaan.


“Sikap segelintir pemandu membuang puntung rokok dari kenderaan mereka boleh membahayakan pengguna jalan raya lain terutama penunggang motosikal malah berupaya mengundang kemalangan hingga mengakibatkan kematian,” katanya ketika ditemui di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Kampung Sri Batu, Sentul, semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Pengangkutan dapat mencari mekanisme dan menjalankan kajian bagi menggubal undang-undang supaya pemandu kenderaan ringan dan berat di negara ini lebih berhemah, berdisiplin serta memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan.

“Saya berharap Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik, dapat membuat kajian untuk menggubal undang-undang mengharamkan pemandu kenderaan daripada memandu sambil merokok kerana ini jelas membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain. “Dalam satu kes yang dilaporkan kepada saya, seorang penunggang motosikal nyaris kemalangan selepas terkena puntung rokok yang masih mempunyai bara dicampak pemandu lori di hadapannya,” katanya.


Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA) menemui pengadu yang mengaku tiga kali terkena balingan puntung rokok termasuk hampir mengenai matanya yang dibuang pemandu lori di Sungai Buloh. Murugiah berkata, tindakan segelintir pemandu membuang puntung rokok keluar dari kenderaan mereka dikesali kerana tidak menggambarkan sikap rakyat Malaysia yang berhemah selain membahayakan keselamatan penunggang motosikal. Sementara itu, pengadu, T Sivagandhi, 35, dari Sungai Buloh, dekat sini, berkata dia terkena tiga puntung rokok yang dicampak pemandu lori termasuk satu yang terkena pipi dan hampir mengenai matanya.


Dia yang bekerja sebagai jurugaya rambut berkata, dalam kejadian itu, dia nyaris terbabit dalam kemalangan kerana terkejut dan terpaksa menarik brek dengan kuat bagi menghentikan motosikalnya. “Saya bernasib baik kerana tiada kenderaan di belakang saya ketika itu dan saya sempat berhenti di tepi jalan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment