Saturday, April 3, 2010

PENIAGA MELECUR..


ALOR SETAR 2 April- Seorang peniaga makanan nyaris maut dalam satu kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Kampung Alor Senjaya, dekat sini malam tadi.
Mohd. Yusoff Hashim, 47, melecur teruk di tangan dan bahagian belakang badan apabila cuba memadamkan kebakaran yang berlaku semasa dia sedang menyediakan makanan untuk dijual di gerainya.
Isterinya, Noor Ashikin Abdul Rashid, 47, memberitahu pemberita, ketika kejadian dia dan lima anak mereka berada di bahagian luar rumah sementara Mohd. Yusoff berada di dapur.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan sebelum ternampak api mula membakar bahagian dapur dan menghalang anak-anak daripada masuk ke dalam rumah,” katanya yang sempat melihat suaminya mengeluarkan satu tong gas bagi mengelakkan kejadian lebih buruk daripada berlaku.
Katanya, dia tidak berani masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan barang-barang kerana nyawa lebih penting dan bersyukur mereka sekeluarga selamat walaupun suaminya mengalami kecederaan.
Sementara itu jurucakap Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak di sini ketika dihubungi mengesahkan menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira pukul 7.10 malam tadi.
Dua jentera dari Jalan Tun Razak bersama 14 anggota bergegas ke tempat kejadian dan api berjaya dikawal sepenuhnya dan punca kebakaran masih dalam siasatan. - Bernama

0 comments:

Post a Comment